Perjanjian Pangkor Ngah Ibrahim

Sultan Abdullah dari Perak.

Keadaan tidak menentu di Larut menyebabkan British bercampur tangan di Perak. Mereka mengambil kesempatan menggunakan perpecahan orang-orang Melayu disebabkan oleh perebutan kuasa antara Tengku Abdullah dan Tengku Ismail untuk menjadi Sultan sebagai campur tangan dalam pentadbiran negeri Perak. Tengku Ismail tidak hadir semasa perundingan di Pangkor.

Tujuan British mengadakan Perjanjian Pangkor

Perjanjian Pangkor bertujuan menetapkan beberapa penyelesaian kepada perbalahan-perbalahan yang menjejas keamanan negeri Perak.

  • Persetujuan Kumpulan-Kumpulan Cina untuk berhenti berbalah
  • Memutuskan pelantikan Sultan Perak
  • Mengesahkan kuasa Ngah Ibrahim sebagai Orang Kaya Menteri Paduka Tuan di Larut Matang dengan dibantu oleh seorang penasihat
  • Penerimaan seorang Residen untuk mentadbir negeri Perak dalam semua perkara kecuali perkara-perkara berkaitan dengan adat resam Melayu dan agama Islam.

Pemberhentian perbalahan puak Cina

Perjanjian Pangkor membolehkan pihak British dan pihak-pihak Cina yang berbalah bersetuju dengan Urusan Pangkor (Pangkor Engagement). Persetujuan ini dicapai oleh 26 orang pemimpin Kongsi Gelap Cina. Dalam persetujuan ini, Chung Keng Quee menandatangani Urusan Pangkor untuk kumpulan Hai San sementara Chin Ah Yam menandatangani bagi pihak Ghee Hin. Chung Keng Quee dan Chin Ah Yam dinobatkan menjadi Kapitan Cina oleh pihak British. Mana-mana pihak Cina yang melanggar persetujuan berdamai akan dikenakan denda $50,000.

Perlantikan Sultan Perak

Raja Abdullah ditabalkan oleh Pihak British sebagai Sultan di negeri Perak. Raja Ismail yang digulingkan oleh Sultan Abdullah diberikan gelaran sebagai Raja Muda dan diberikan pencen (gaji) bulanan sebanyak $1,000 dan juga diberikan satu jajahan kecil sebagai warisan adat beliau dan keturunan beliau.

Pengesahan kuasa Ngah Ibrahim

Perjanjian Pangkor 1874 mengiktiraf Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim sebagai orang berkuasa di jajahan Larut Matang. Ngah Ibrahim diiktiraf oleh pihak British sebagai Orang Kaya Menteri Paduka Tuan di Larut, tetapi tidak mempunyai kebebasan dan kuasa mutlak seperti mana yang diberikan kepadanya sebelum itu. Sebaliknya, beliau akan dibantu oleh seorang wakil British diberikan jawatan Penolong Residen untuk mentadbir jajahan Larut. Ngah Ibrahim dan lain-lain pembesar Melayu juga kehilangan hak untuk memungut cukai.

Kapten Tristam Speedy dilantik menjadi Penolong Residen untuk memastikan keselamatan Larut Matang supaya bekalan bijih timah tidak lagi terganggu.

Pembahagian kawasan perlombongan

Perjanjian Pangkor juga membahagikan kawasan perlombongan bijih antara pihak Ghee Hin dan Hai San. Kawasan Klian Pauh diberikan kepada kongsi Hai San. Klian Pauh kemudiannya diberikan nama Taiping yang memberi makna “Keamanan Berkekalan”. Kawasan perlombongan Klian Baru diberikan kepada kongsi Ghee Hin, yang kemudiannya memanggil kawasan tersebut sebagai Kamunting. Kongsi Ghee Hin kurang berpuas hati kerana mahukan kawasan perlombongan Klian Pauh kerana lebih mempunyai bijih.

Penerimaan pentadbiran British

Ngah Ibrahim kini terpaksa menerima kuasa Pentadbiran British dengan persetujuan penerimaan seorang Residen untuk negeri Perak. Untuk jajahan Larut, Ngah Ibrahim terpaksa menerima pelantikan Kapten Tristam Speedy sebagai Penolong Residen. Pada mulanya, Ngah Ibrahim tidak begitu gusar kerana Kapten Tristam Speedy ialah pekerjanya dan semestinya taat kepadanya.